PELAWAK dan pengacara Anugerah Meletop ERA 2016, Nabil Ahmad, 32; mempunyai alasan tersendiri untuk berehat daripada program-program berbentuk komedi.
Menurut Nabil, hasratnya untuk berehat dari dunia komedi hadir sejak setahun yang lalu kerana ingin memberi tumpuan kepada bidang pengacaraan.
Baginya, lawak yang hendak disampaikan haruslah sesuatu yang segar dan menepati cita rasa peminat, katanya kepada portal Astro Gempak.
Pengunduran beliau daripada pentas Maharaja Lawak Mega bukan untuk selama-lamanya tetapi bertujuan untuk membuat peminat-peminatnya rindu akan lawaknya supaya ia memberi impak yang besar.
Menurut pengacara Anugerah Meletop ERA 2016 ini, dia kini lebih selesa menceburkan diri dalam bidang pengacaraan seiring dengan kariernya sebagai seorang pelawak.
Di samping itu, dia telah rancang untuk terus mengembangkan lagi karier sebagai seorang komedian. Tambah Nabil lagi, dia sedang merancang untuk beri ‘buah tangan’ kepada peminat yang menyokongnya sejak awal karier.
“Akan ada sesuatu khas buat peminat yang sentiasa menyokong karier saya sebagai pelawak sejak dulu lagi. Bila ada masa yang sesuai saya akan kongsi kepada umum kerana ia masih dalam proses perancangan.
“Mungkin idea ini akan siap dalam hujung tahun ini atau awal tahun hadapan. Saya sendiri terlibat dan mungkin juga akan melibatkan pelawak-pelawak lain. Inilah yang diidamkan-idamkan saya sejak dahulu lagi ,” katanya.
Kesempatan menjadi pengacara bagi Anugerah Meletop ERA 2016 kali ketiga berturut-turut bersama rakan-rakan pengacara yang lain antaranya Datuk AC Mizal, Neelofa dan Jihan Musa amat dihargai serta berasa bersyukur.
Bagi Nabil, kepercayaan diberi untuk mengacarakan anugerah berprestij itu untuk sekian kalinya menunjukkan bahawa produksi terbabit mempunyai kepercayaan yang tinggi kepadanya dan peluang itu diambil sebaiknya.
Walau apapun perancangan Nabil, kami doakan yang terbaik untuknya. – MYNEWSHUB.CC
Lagi Info Menarik Mesti Baca!
loading...