KUALA LUMPUR – Minyak masak bersubsidi di dalam botol berisipadu satu liter akan diperkenalkan dalam masa terdekat ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Beliau berkata pengenalan minyak masak itu sebagai usaha kementerian memberi pilihan kepada pengguna membeli minyak masak bersubsidi dalam botol atau dalam pek (paket).
Ketika ini bahan itu terdapat hanya dalam bentuk paket.
“Minyak masak dalam botol ini pastinya harga akan lebih mahal daripada dalam pek.
“Kos menyediakan minyak dalam pek kurang daripada 10 sen, manakala dalam botol melebihi 40 sen. Ini perlu difahami,” kata beliau.
“Saya dah berjumpa dengan ‘repackers’ (pembungkus) pada Rabu. Saya nak pastikan berapa orang mampu buat ini dan baru saya umumkan pengeluarannya apabila semua sudah dipersetujui,” katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas menutup Forum Pengguna VI 2016 anjuran Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di sini hari ini.
Sebelum ini, kementerian berkenaan mengumumkan, mulai 1 Nov harga minyak masak di dalam botol dijual mengikut harga ditetapkan oleh pengeluar manakala harga minyak masak paket satu kilogram kekal pada RM2.50.
Forum bertemakan ‘Gerakkan Kuasa Pengguna’ itu dihadiri hampir 1,000 peserta dari seluruh negara yang menampilkan beberapa anggota panel seperti Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan dan Presiden Transparency International Malaysia Datuk Akhbar Satar.
Terdahulu, dalam ucapan perasmian penutup forum tersebut, Hamzah mengumumkan peruntukan RM5 juta kepada koperasi kendalian PPIM yang akan diwujudkan tidak lama lagi.
Hamzah berkata peruntukan itu sebagai tabung modal pusingan koperasi tersebut yang bertujuan membantu menangani masalah pinjaman kepada peminjam wang tidak berlesen seperti ‘along’.
“Saya dapat aduan ahli-ahli PPIM banyak kena tipu dengan ‘along’ maka saya minta mereka tubuhkan koperasi dan melalui koperasi ini saya tak mahu mereka buat lagi pinjaman dengan ‘along’ dan mengalami masalah di masa hadapan,” katanya. – BERNAMA
Lagi Info Menarik Mesti Baca!
loading...