SHAH ALAM: Vokalis kumpulan Data iaitu Shidi menganggap penyingkirannya pada konsert Gegar Vaganza 3 (GV3) mempunyai hikmah apabila penaja utama program itu, Datuk Seri Vida menghadiahkan pakej umrah kepadanya dan isteri.
Shidi atau Rashidi Rashid, 43, berkata, dia terkejut apabila Vida atau nama sebenarnya Hasmizah Othman memaklumkan hasratnya itu selepas berasa terkilan dengan penyingkirannya pada konsert berkenaan.
"Jujurnya saya memang tidak menyangka disebalik penyingkiran saya ini ada hikmah lebih besar menanti saya apabila Datuk Seri Vida menyatakan hasrat untuk menaja pakej umrah untuk saya dan isteri.
"Ketika bertemu dengan beliau selepas konsert semalam (Ahad) beliau memberitahu tidak berpuas hati apabila saya tersingkir dan sebagai penghargaan beliau ingin menghadiahkan pakej untuk menunaikan Umrah.
"Katanya, saya dan isteri boleh pergi pada bila-bila masa dan hanya perlu memberitahunya untuk urusan ke tanah suci," katanya kepada mStar Online.
Pada konsert yang diadakan di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) itu, Shidi menerima markah terendah sekali gus hasratnya untuk bertanding pada minggu berikutnya terhenti.
Shidi menyampaikan lagu nyanyian asal Awie berjudul Ratuku pada persembahan minggu kelima itu.
Dalam pada itu, Shidi memberitahu dia tidak berasa terkilan apabila disingkirkan biarpun keputusan dibuat oleh pihak juri itu dikritik oleh peminat.
Kata Shidi, dia yakin pihak juri telah membuat pertimbangan sewajarnya dalam mengadili persembahan dan menganggap rezekinya hanya setakat itu di GV3.
"Tiada apa yang ingin saya pertikaikan kerana saya menghormati penilaian dan pertimbangan yang dilakukan oleh pihak juri dan saya yakin mereka juga berada dalam situasi sukar untuk membuat keputusan.
"Sebagai orang Islam kita kena percaya kepada rezeki dan Insya-Allah ada lebih banyak peluang untuk saya pada masa hadapan," katanya.
Kredit: Mstar Online
Lagi Info Menarik Mesti Baca!
loading...