MASIH ingat lagi kisah seorang dermawan di Kedah bernama Abdul Ghani Haron yang memberikan petrol percuma kepada pengguna motosikal di stesen minyak Tikam Batu, Sungai Petani, awal bulan lalu?
Dan sekali lagi, Abdul Ghani atau lebih mesra dikenali sebagai Cikgu Ghani kembali menghulurkan bantuan, namun kali ini adalah dalam bentuk minyak masak 2 kilogram pula.
Pemberian sebanyak 900 botol minyak masak itu diagihkan semalam, secara percuma di hadapan rumah Cikgu Ghani sendiri di Kampung Masjid Tikam Batu.
Seawal jam 6 pagi, sebahagian besarnya kaum ibu sudah datang membanjiri kediaman bekas pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Muda itu mendapatkan minyak percuma berkenaan.
Pemberian tersebut walaupun kecil tetapi ternyata mendapat sambutan hangat, apabila tidak sampai 45 minit, kesemua 900 botol minyak masak habis diagihkan.
Sementara itu, Cikgu Ghani, 60, memberitahu, apa yang dilakukan bukan untuk mencari nama atau ada kepentingan sendiri, sebaliknya pemberian minyak masak percuma bertujuan meringankan beban masyarakat.
“Terutama golongan kurang berkemampuan ekoran kenaikan harga minyak masak secara mendadak.
“Tak sampai 45 minit 900 botol minyak masak 2kg habis diagihkan kepada masyarakat setempat.
“Saya mohon maaf… jika boleh saya mahu bagi kepada semua yang datang.
“Tapi, agak sukar untuk membeli minyak masak begini kerana dikawal sepenuhnya,” katanya.
Dalam pada itu, peniaga katering ini merancang untuk memberikan bantuan minyak masak dan beras, bulan depan jika tiada aral melintang.
Sumber: Harian Metro & Mynewshub.cc
Lagi Info Menarik Mesti Baca!
loading...