Sunday 6 November 2016

Info Menarik Yang Anda Mesti Baca:

loading...


Teguran Pedas Sultan Perak Kepada Pemimpin Negara

Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah bahawa rasuah berleluasa dan sistem cukai tinggi diperkenalkan boleh mengakibatkan pemerintahan jatuh sepertimana yang berlaku terhadap Melaka pada 1511.

Sultan Perak bertitah, sejarah Melaka perlu dijadikan iktibar oleh pemimpin dan rakyat negara ini kerana sekiranya ia tidak dijaga boleh menyebabkan berlakunya kejatuhan sesebuah pemerintahan.Baginda bertitah, kejatuhan kerajaan Melaka ke tangan Portugis pada 1511 adalah disebabkan pemimpinnya leka hingga mengabaikan rakyat dan negara.

“Selepas ketiadaan Tun Perak, tanggungjawab pentadbiran diserahkan kepada mereka yang kurang bijaksana.“Rasuah berleluasa, sistem cukai yang tinggi yang diperkenalkan mengakibatkan pedagang beralih ke pelabuhan lain, di Acheh, di Bantam, di Patani dan di Brunei.“Perdagangan di Melaka merosot dalam suasana berlakunya perpecahan sesama bangsa.

“Berlakunya perselisihan puak tua dan muda serta berlaku pula pengkhianatan rakyat tempatan dengan dibantu oleh orang luar,” titahnya pada Sambutan Ulang Tahun Keputeraannya di Istana Iskandariah, di sini, hari ini.

Bernama pula melaporkan, Sultan Nazrin yang dimahsyurkan sebagai Sultan Perak pada 2014 bertitah kebijaksanaan seseorang sultan dan raja menitahkan hukum serta melaksanakan keadilan dipengaruhi oleh maklumat sebenar yang sampai kepada pendengaran baginda.

“Beta amat hargai kata panduan dan kata pedoman yang disembah maklumkan oleh ahli-ahli Dewan Negara, para ulama dan para umarak.“Beta hargai lafaz taat setia yang dizahirkan Raja Muda, demikian juga ikrar taat setia yang dipersembahkan oleh Menteri Besar, beta amat insaf akan amanah yang dipertanggungjawabkan ke atas beta,” titah Sultan Nazrin.

Titah Sultan Nazrin kesempurnaan dalam menyempurnakan amanah sebagai Sultan Perak bukan sahaja diperhatikan oleh rakyat, tetapi merupakan ujian besar daripada Allah, yang akan dinilai pada hari kebangkitan kelak.

“Semoga dalam memenuhi amanah, ketika bersemayam di atas takhta kerajaan ini beta dijauhkan daripada hanyut dengan kata-kata pujian yang boleh melalikan hingga mengakibatkan beta terkabur penglihatan,” titah baginda.

Dikenali sebagai sultan berjiwa rakyat, Sultan Nazrin menzahirkan penghargaan terhadap persepakatan yang baginda peroleh daripada semua pihak termasuk kerabat diraja Perak, polis dan tentera yang membantu dalam melaksanakan tanggungjawab.“Masing-masing telah menyempurnakan amanah untuk membantu supaya negeri ini terus dapat dibangunkan dalam suasana aman dan warga berada dalam sejahtera.

“Demikian jua penghargaan beta kepada pihak swasta, badan-badan sukarela, badan-badan kebajikan, pertubuhan-pertubuhan belia, badan-badan sukan, serta warga keseluruhannya yang telah memperlengkapkan usaha-usaha pembangunan yang dirintis oleh kerajaan beta,” titah baginda.

Pada istiadat hari ini, Sultan Nazrin berkenan menganugerahkan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat-pingat negeri kepada 33 daripada keseluruhan 333 penerima, manakala bakinya akan menerima darjah kebesaran masing-masing pada istiadat 12 Nov depan.
- eberita.org
Kredit: http://malaysianewsss.blogspot.my

Lagi Info Menarik Mesti Baca!

loading...