Thursday 3 November 2016

Info Menarik Yang Anda Mesti Baca:

loading...

SELEPAS harga minyak masak dan petrol naik kelmarin, rakyat jelata sekali lagi akan tertekan apabila harga gas petroleum cecair (LPG) dikatakan akan turut naik mulai tahun depan, lapor China Press.

Mengikut maklumat daripada peruncit, kenaikan harga LPG tidak mungkin berlaku pada tahun ini, tetapi tetap akan naik selewat-lewatnya tahun depan dengan kadar kenaikan RM7 setong.

Selain itu, ada dalam kalangan ejen penjual LPG turut memberitahu, kenaikan harga LPG tidak mampu dielakkan lagi ketika ini, cuma menunggu masa untuk diluluskan dan diumumkan oleh kerajaan dalam beberapa bulan akan datang.

Akhbar ini turut membuat tinjauan terhadap beberapa peruncit dan ejen penjual LPG di sekitar Lembah Klang, namun mereka mengesahkan masih belum menerima sebarang maklumat mengenai kenaikan LPG seperti diura-urakan.

Sekiranya harga LPG dinaikkan, pengguna di seluruh negara pastinya akan mengeluh kerana selepas minyak masak dan petrol, mereka sekali lagi terpaksa mengeluarkan perbelanjaan tambahan.

Kenaikan harga minyak masak dan petrol pada awal bulan ini, dan disusuli LPG dalam beberapa bulan akan datang turut memungkinkan peniaga makanan menaikkan harga jualan mereka.

Tak asing sisa pepejal, 85 terima NPK

Masih terdapat dalam kalangan orang ramai yang tidak tahu adanya penguatkuasaan Program Pengasingan Sisa Pepejal Di Punca (SAS) walaupun telah dilancarkan mulai 1 September tahun lalu.

Pelaksanaan ini berkuat kuasa di tujuh negeri dan wilayah-wilayah persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perlis dan Kedah, manakala denda kompaun maksimum sehingga RM1,000 dikenakan jika didapati enggan melaksanakan pengasingan sisa pepejal mulai 1 Jun lalu.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara, Ismail Mokhtar, sejak 1 Jun hingga 30 September ini, pihaknya telah memeriksa sebanyak 130,535 unit rumah dan hasilnya, seramai 85 orang telah menerima Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) kerana tidak mengasingkan sisa pepejal dengan betul, manakala 11 orang lagi masih menunggu Izin Kompaun yang akan dikeluarkan oleh timbalan pendakwa raya.

"Walaupun kerajaan telah menghabiskan banyak wang untuk melancarkan publisiti mengenai cara-cara pengasingan sisa pepejal ini, tetapi ada yang masih menggunakan alasan seperti tidak ada masa dan tidak tahu melakukan pengasingan," kata Ismail kepada China Press.

Bagaimanapun, jelas Ismail, selepas pengasingan sisa pepejal dikuatkuasakan, jumlah sisa pepejal pada pertengahan awal tahun ini berkurangan sebanyak 13.2 peratus berbanding dalam tempoh sama tahun lepas.

Berapa jumlah pinjaman dengan China?

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diminta memberikan penjelasan terperinci mengenai jumlah wang yang dipinjam oleh Malaysia dengan China sempena lawatan yang beliau lakukan ke negara itu mulai Isnin lalu.

Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi berkata, disebabkan China telah memperoleh banyak projek yang diberikan oleh Malaysia, maka adalah penting Najib sebagai Menteri Kewangan memberitahu kepada sidang Parlimen segala jumlah pinjaman dan maklumat perjanjian yang dimeterai oleh kedua-dua negara.

"Perdana menteri sepatutnya memberikan jaminan kepada rakyat bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang tidak akan menggadai hak dan maruah bangsa kepada China," katanya seperti yang dilaporkan dalam Sin Chew Jit Poh.

Menurutnya, pada 1971, negara-negara Asean telah diisytiharkan sebagai kawasan aman, bebas dan berkecuali, namun pada hari ini, beberapa negara seperti Kemboja, Laos dan Filipina telah menyokong China atas dasar hubungan kerjasama dalam bidang ekonomi.

"Malaysia mempunyai tanggungjawab untuk terus mempertahankan rantau Asean sebagai kawasan aman, bebas dan berkecuali serta tidak terpengaruh oleh negara-negara yang mempunyai kekuatan ekonomi seperti China," katanya. - Sinar Harian

Lagi Info Menarik Mesti Baca!

loading...