Wednesday 9 November 2016

Info Menarik Yang Anda Mesti Baca:

loading...


KUALA LUMPUR - Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi Syariah di sini, hari ini bahawa ibunya meminta beliau menjaga dua anak saudaranya selepas ibu bapa mereka maut dalam kemalangan di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (Duke) pada Mei tahun lepas.    

Yusnidah Husain, 48, berkata ibunya Allahyarham Normah Toso, memintanya menjaga anak-anak saudaranya itu atas sebab keadaan mereka tidak terurus kerana anggota keluarga lain sibuk dengan pelbagai urusan.    

"(Selepas kemalangan itu) keluarga defendan dan keluarga saya telah  bersetuju agar anak-anak itu dijaga oleh ibu saya. Kemudian ibu minta saya menjaga mereka kerana keadaan ketika itu kelam kabut dan tidak ada sesiapa yang pedulikan anak-anak itu.    

"Hamlizar Husain (adik ketiga) sibuk menguruskan hal insurans si mati, Muhammad Faizznur Asyraf Husain (adik bongsu) sibuk dengan urusan perkahwinannya manakala defendan iaitu Wirda Syamsuddin, 53, (nenek dua kanak-kanak itu) menunaikan umrah selepas empat hari kemalangan berlaku," katanya.    

Yusnidah selaku plaintif berkata demikian ketika disoal oleh peguam syarie Mahyuddin Md Zahari yang mewakilinya dalam perbicaraan hak penjagaan kekal (hadanah) ke atas Nur Firuza Amira Fairuz Nizam, 8, dan Nur Firuza Aqila Fairuz Nizam, 4.

Yusnidah memfailkan permohonan hadanah pada 2 Jun 2015 mengikut Seksyen 81 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984, dan menamakan Wirda, iaitu ibu kepada emak kanak-kanak itu, sebagai defendan.    

Pada 11 Ogos tahun sama, mahkamah telah memberi hak penjagaan sementara dua kanak-kanak itu kepadanya.        

Dalam kejadian pada 2 Mei 2015, Fairuz Nizam Husain, 35, dan isterinya Nova Safitri Azhari, 27, dan bayi mereka Nur Firuza Annisa, enam bulan, maut dalam nahas jalan raya melibatkan kereta MyVi semasa dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Taman Muda, Batu Caves dekat sini.     

Yusnidah berkata ibunya meninggal dunia tiga bulan selepas kemalangan maut itu.    

Beliau juga memberitahu mahkamah bahawa kesemua adik beradiknya yang lain mengetahui bahawa beliau diberi tanggungjawab oleh arwah ibunya untuk  menjaga dua kanak-kanak itu dan mereka tidak membantah.

Yusnidah berkata hanya dua kali defendan datang melawat dua kanak-kanak itu sepanjang 2016 iaitu pada cuti umum hari keputeraan Yang di-Pertuan Agong dan pada hari ke-10 Aidilfitri.    

Beliau berkata defendan juga tidak pernah menghubunginya sebelum datang melawat dua orang cucunya.    

Perbicaraan di hadapan Hakim Syarie Muhamad Abdul Karim Wahab bersambung 11 Januari 2017. Defendan diwakili peguam syarie Yusfa Hanis Yusoff. - Bernama

Lagi Info Menarik Mesti Baca!

loading...