KOTA BHARU: Operasi Penguatkuasaan Bersepadu untuk merobohkan sekatan pembalakan di beberapa tempat di Hutan Simpan Kekal (HSK) Balah, Perias dan Gunung Stong adalah berlandaskan undang-undang.
Pengarah Jabatan Perhutanan Kelantan Zahari Ibrahim berkata tindakan Orang Asli membina pondok dan sekatan itu adalah kesalahan yang jelas di bawah Seksyen 32, Enakmen Perhutanan Negara (Pemakaian) Negeri Kelantan 1984 kerana menduduki dan memasuki kawasan hutan simpan tanpa kebenaran.
Beliau berkata selain itu, pegawai dan kakitangan Jabatan Perhutanan Kelantan dihalang memasuki kawasan yang terlibat dan seterusnya membantutkan tugas dan tanggungjawab agensi untuk melaksanakan program pemuliharaan, pengurusan, pemantauan dan penguatkuasaan hutan di kawasan berkenaan.
“(Sekatan juga telah) menghalang pengeluaran hasil hutan yang sah yang sepatutnya dikeluarkan dan beberapa kayu balak yang telah disimpan di Matau sebelum arahan pemberhentian operasi pembalakan bermula bulan Oktober.
“Keadaan sekatan ini menyebabkan kayu-kayu balak yang telah ditebang menghadapi pereputan nilai dan menyebabkan hasil yang sepatutnya telah berkurangan. (Mereka juga) menyalah guna kuasa dengan menghalang pekerja-pekerja lesen pengusaha hasilan yang mempunyai kebenaran sub-lesen memasuki kawasan terlibat,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Zahari berkata sebelum operasi tersebut dijalankan, Kerajaan Negeri mengambil beberapa pendekatan antaranya sesi penerangan dan penjelasan, mendengar segala tuntutan dan bantahan pihak Orang Asli yang terlibat dan mengadakan perbincangan bersama penghulu-penghulu mukim yang dilantik sejak sekatan pertama dilakukan komuniti itu pada 27 Mac lepas di Pos Gob.
Zahari berkata bagaimanapun keadaan menjadi lebih menyedihkan apabila sekatan diperluaskan ke beberapa pintu baharu iaitu di kawasan Matau di Kompartmen 260, HSK Perias dan Kompartmen 27, HSK Gunung Stong Selatan.
Lagi Info Menarik Mesti Baca!
loading...