Wednesday, 26 October 2016

Info Menarik Yang Anda Mesti Baca:

loading...


JOHOR BAHRU – Pakar bedah am, Dr. Narendra Balasekaran berada di aras empat Hospital Sultanah Aminah (HSA) bersama pasukan perubatannya kira-kira pukul 9 pagi apabila terdengar sistem penggera berbunyi.

Kebakaran mula dikesan berlaku di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) yang terletak di aras dua.

Dr. Narendra bergegas ke sana dan melihat kakitangannya memindahkan pesakit dari wad pembedahan bersebelahan ICU.

“Saya terkejut apabila dimaklumkan terdapat tujuh pesakit terperangkap di dalam wad ICU,” katanya.

Menyedari asap tebal menyelubungi kawasan ICU yang terbakar, dia dan tiga doktor lain membuat keputusan untuk masuk ke dalam bagi membantu mangsa terperangkap.

“Saya mengambil selimut dan membasahinya dengan air sebelum masuk ke dalam wad yang gelap dan dipenuhi asap,” katanya.

Sebaik mereka mendekati pesakit pertama, seorang wanita, mereka menarik katil dan menolaknya keluar.

“Katil itu amat panas dan saya perlu membalut bahagian besi dengan tuala saya,” katanya.

Dr. Narendra berkata mereka kemudiannya memutuskan untuk membantu pesakit lain dan pada masa sama melihat di sekeliling sekiranya ada lagi mangsa yang masih terperangkap.

“Dengan bantuan anggota bomba, kesemua enam pesakit berjaya dibawa keluar,” katanya.

Beliau berkata beberapa mangsa meninggal dunia akibat sesak nafas kerana terhidu asap tebal.

Beberapa doktor lain yang turut bersama dengan beliau adalah Dr. Shah Jahan, Dr. Rishi Haran dan Dr. Ashok Kannan.

Dr. Narendra berkata mereka berjaya mendapatkan beberapa topeng gas sebelum masuk ke dalam wad yang terbakar.

“Kami sedaya upaya melakukan yang terbaik untuk menyelamatkan pesakit,” katanya.

Dr. Narendra berkata beliau kecewa kerana timbul spekulasi di media sosial bahawa doktor dan kakitangan perubatan meninggal dunia dalam kebakaran itu.

“Kami melakukan yang terbaik untuk menyelamatkan pesakit kami dan semua kakitangan perubatan dan jururawat sudah melakukan yang sepatutnya dan ikut prosedur pemindahan,” katanya.
Dr. Narendra mendedahkan beliau mengalami luka ringan akibat terkena api.

Beliau menyifatkan tragedi itu pengalaman paling menakutkan sepanjang kariernya selama 10 tahun bergelar doktor.

Sementara itu, seorang jururawat, Nur Jahan Idayu, 26, yang baharu sahaja mula sesi bertugas sedang menyiapkan peralatan untuk pembedahan di bilik bedah aras dua ketika rakan sekerja meluru masuk dan memaklumkan mengenai kebakaran tersebut.

“Semua barang terjatuh dan kami bergegas keluar. Pada waktu itu, lif masih lagi berfungsi. Pesakit yang menggunakan peralatan berat dibawa keluar terlebih dahulu manakala pesakit yang boleh berjalan turun menggunakan tangga,” katanya.

Nur Idayu yang berkhidmat di hospital tersebut sejak tiga tahun lalu berkata, mereka sudah sedaya upaya memindahkan semua pesakit. – mStar Online

Lagi Info Menarik Mesti Baca!

loading...