Friday 16 December 2016

Info Menarik Yang Anda Mesti Baca:

loading...


BUKIT MERTAJAM – Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) hari ini menafikan dakwaan pihak tidak bertanggungjawab kononnya restoran nasi kandar di negara ini menggunakan daging anjing bagi menggantikan daging kambing.

Timbalan Presiden Presma Datuk Khadhar Shah Abdul Razak berkata perkara itu menjadi viral di laman sosial terutama Facebook sejak semalam selepas seorang lelaki yang menggunakan nama ‘Udin Di Raja’ memuat naik berita serta gambar berhubung dakwaan itu.

“Sebenarnya berita dan gambar yang digunakan lelaki itu dalam laman Facebooknya adalah berita yang dikeluarkan menerusi satu saluran televisyen dan portal di Tamil Nadu, India yang memaparkan mengenai nasi beriani daging
anjing di sana.

“Udin Di Raja telah menggunakan gambar berkenaan termasuk gambar anjing disembelih dan mendakwa restoran nasi kandar di Malaysia menggunakan daging anjing bagi menggantikan kambing,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata perkara itu terus menjadi viral dan dikongsi oleh pelbagai pihak sehingga memberikan imej buruk kepada restoran-restoran nasi kandar di Malaysia dan menerima kecaman daripada orang ramai.

Khadar Shah yang juga Pengarah Urusan Nasi Kandar Nasmir Sdn Bhd berkata ekoran tersebarnya berita dan gambar itu, pengusaha-pengusaha nasi kandar di Malaysia kesal, kecewa serta marah kerana perkara itu tidak benar dan memberikan kesan kepada perniagaan mereka.

Beliau berkata orang ramai terutama pelanggan tidak perlu khuatir atau bimbang tentang makanan yang dijual di restoran nasi kandar kerana 80 peratus daripada 320 anggota Presma memiliki sijil halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Beliau turut meminta orang ramai agar berhenti menyebarkan dan mengabaikan berita yang menjadi viral itu.

“Pihak kami juga mahu Udin Di Raja iaitu lelaki yang memaparkan perkara itu menerusi laman sosial Facebooknya agar tampil memohon maaf secara terbuka dan jika gagal berbuat demikian dalam tempoh tiga hari, kami akan mengambil tindakan undang-undang terhadapnya,” katanya.

Katanya Presma juga mahu pihak polis menjalankan siasatan dan mengambil tindakan terhadap pihak tidak bertanggungjawab yang menyebar perkara itu sehingga menjejaskan imej Malaysia sebagai negara Islam. – BERNAMA

Lagi Info Menarik Mesti Baca!

loading...