KUALA LUMPUR – Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan Duta Besar Rusia Andrey Karlov di Ankara, Turki, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Dalam catatan melalui akaun Twitter beliau hari ini, Najib menyampaikan ucapan takziahnya kepada keluarga Karlov dan rakyat Rusia.
“Kami mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan Duta Besar Andrey Karlov di Ankara. Takziah kepada keluarga beliau dan rakyat Rusia,” kata Najib.
Karlov maut akibat terkena beberapa das tembakan yang dilepaskan seorang lelaki ketika menghadiri pameran seni di Ankara pada Isnin. Serangan itu juga menyebabkan tiga orang cedera.
Awal hari ini, Wisma Putra mengeluarkan kenyataan berhubung kejadian itu, yang disifatkannya sebagai suatu perbuatan hina dan tidak bertamadun.
Wisma Putra juga menggesa agar mereka yang terlibat dengan tindakan pengecut itu segera dihadapkan ke muka pengadilan.
“Ingatan dan doa kami sentiasa bersama mangsa, keluarga dan orang yang mereka sayangi dalam menghadapi detik-detik memilukan ini,” kata kenyataan itu. – BERNAMA
Lagi Info Menarik Mesti Baca!
loading...