Saturday 17 December 2016

Info Menarik Yang Anda Mesti Baca:

loading...


KUALA LUMPUR, 17 Dis — Serbuan khalwat, sehingga berlaku kemalangan dan kematian, membawa malu pada sistem keadilan negara ini, kata kumpulan liberal G25.

Kumpulan tokoh-tokoh terkenal itu juga menyifatkan pelaksanaan jenayah syariah itu sukar memberi keadilan kepada kelas kaya lagi berkuasa berbanding mereka yang miskin.

“Masalah kawalan moral, ia cenderung membangkitkan persoalan tentang keutamaan dalam [membanteras] penyakit masyarakat,” kata jurucakapnya Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kassim.

“Ia juga undang-undang yang sangat sukar untuk ditegakkan dengan saksama kerana ia selalunya mensasarkan rakyat miskin, sementara mereka yang kaya dan berkuasa boleh berbuat dosa lebih besar, khususnya apabila ada hubungan politik atau boleh menyorok wanita simpanan di pangsapuri mewah.”

Beliau mengulas kematian seorang anggota polis yang terjun dari tingkat empat pangsapuri di Pandan Perdana dekat sini awal bulan ini sewaktu cuba mengelak dicekup penguatkuasa antikhalwat.

Pada awal pagi 6 Disember lalu, dalam insiden berasingan, seorang lagi anggota polis parah setelah terjun bangunan di Puchong Perdana untuk mengelak diberkas Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Dalam kenyataannya hari ini, Mohd Sheriff juga berkata peraturan cegah khalwat boleh diperalatkan oleh orang ramai untuk mengintai dan mengadu kegiatan jiran atau rakan mereka yang tidak disenangi.

Beliau menggesa pihak berkuasa mengambil iktibar daripada kegagalan negara-negara yang cuba mengawal kelakuan dan fikiran individu bagi memastikan rakyat tunduk pada ideologi negara.

“Semua undang-undang dan indoktrinasi politik gagal menyelamatkan regim-regim itu daripada digulingkan apabila rakyat bangkit menentang kediktatoran,” katanya lagi.

Beliau juga menyatakan kebanyakan negara Arab di Teluk tidak menjalankan serbuan di rumah persendirian atau hotel semata-mata untuk mengawal moral.

Malah di Arab Saudi, tambah Mohd Sheriff, kerajaannya baru-baru ini mengetatkan garis panduan bagi mengawal penguatkuasa moral agar tidak bertindak sewenang-wenangnya.

“Arahan itu [dalam garis panduan baru] ialah penguatuasa tidak wajar bertindak sesuka hati, sebaliknya mereka patut menasihati pelaku [maksiat] agar berubah dan bertaubat,” katanya.

“Untuk maju sebagai negara Muslim yang progresif, [negara] kita perlu mereformasi pentadbiran Islam agar mencapai tahap keadilan yang tinggi dan membawa kemajuan.”

- Kredit: http://www.themalaymailonline.com/

Lagi Info Menarik Mesti Baca!

loading...